PELBAGAI jenis dadah dirampas polis dengan penahanan pengantin baru. FOTO Zaman Huri Isa
PELBAGAI jenis dadah dirampas polis dengan penahanan pengantin baru. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Rohana Idris

PASANGAN pengantin yang baru seminggu berkahwin ditahan polis dalam serbuan di rumah di Kampung Bunohan, Tumpat, hari ini.

Dalam serbuan 2.30 pagi itu, 73 gram dadah dipercayai syabu, tiga botol air ketum, 16 botol ubat batuk jenis Kodein dan lima pil Eramin 5 yang bernilai RM11,500 turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, penahanan itu dibuat oleh pasukan dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

“Turut disita adalah wang tunai berjumlah RM4,000 dan sebuah kereta yang dipercayai baru dibeli suspek secara tunai,” katanya dalam sidang media di Tumpat, hari ini.

Ab Rashid berkata, suspek yang berumur 38 dan 40 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu di sekitar Tumpat dan Kota Bharu.

Beliau berkata, suspek juga memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan yang dibuat mendapati mereka positif dadah jenis Methampethamine.

“Kedua-dua suspek akan ditahan reman selama enam hari bermula esok sehingga 24 September ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 4:04 PM