KUALA LUMPUR 30 AUGUST 2019. Chief Executive Officer Air Asia Group, Tan Sri Tony Fernandes during Airbus - Air Asia Group Signing Ceremony press conference at St Regis Hotel. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
KUALA LUMPUR 30 AUGUST 2019. Chief Executive Officer Air Asia Group, Tan Sri Tony Fernandes during Airbus - Air Asia Group Signing Ceremony press conference at St Regis Hotel. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD
Nabil Basaruddin


PENGASAS Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes akan melepaskan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah dalam semua syarikat kecuali di AirAsia, AirAsia X dan airasia.com.

Malah, menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya hari ini, Tony berkata, keputusan berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada pelan perancangannya bagi memberi peluang kepada barisan kepimpinan baharu.

Dalam ciapan berasingan, beliau berkata, langkah itu juga akan membolehkan jawatan dalam lembaga pengarah dan pengurusan diisi dari kalangan pemimpin muda syarikat itu.

“Sebagai langkah pertama mengundurkan diri dan menggerakkan generasi pemimpin @AirAsia berikutnya ke hadapan, saya akan meletakkan jawatan dalam semua Lembaga Pengarah kecuali @AirAsia dan Airasia X.

“Jawatan lain yang dipegang saya sebelum ini sama ada dalam lembaga mahupun pengurusan akan diberikan kepada pemimpin muda yang saya anggap begitu luar biasa.

“Kami mempunyai banyak pemimpin muda seperti itu. Kepimpinan adalah mengenai perancangan penggantian yang selalu memberi peluang kepada golongan muda,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, pada bulan lalu, AirAsia mengumumkan penyusunan semula kempimpinan bagi menyokong transformasi untuk menjadi syarikat platform perjalanan dan kewangan, selain membina airasia.com menjadi jenama gaya hidup.

Dalam penyusunan terbabit, Tony akan bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) airasia.com, dengan tumpuan untuk melantik CEO baharu yang akan melapor terus kepadanya.

Selain AirAsia dan AirAsia X, Tony memegang jawatan dalam Lembaga Pengarah beberapa syarikat senaraian awam dan sendirian berhad, selain agensi kerajaan.

Beliau juga adalah Lembaga Pengarah Crescent Point Group, Caterham Cars Ltd, Tune Air Sdn Bhd, Tune Group, Tune Hotels Sdn Bhd, Loftus Road PLC dan Tune Insurance Labuan Ltd.

Selain itu, Tony juga berada dalam senarai lembaga pengarah di Capital OCA Bhd, Tune Money Sdn Bhd, Caterham Composites Ltd, Caterham Tech (M) Sdn Bhd, Dinato Racing Limited dan Epsom College Malaysia Sdn Bhd.

Dalam pada itu, tokoh korporat itu turut mengimbau kejayaannya dalam membangunkan empayar syarikat penerbangan itu pada 19 tahun lalu.

“Hanya bermula dengan dua pesawat kepada 270 pesawat. Banyak pihak yang tidak bersetuju dengan kami namun, ia terbukti apabila lebih 600 juta penumpang menikmati manfaat dengan apa yang kami lakukan selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:03 PM