Semua sekolah di Pulau Pinang ditutup esok berikutan keadaan jerebu pada tahap sangat tidak sihat. FOTO Rosli Ahmad
Zuhainy Zulkiffli


SEMUA sekolah di Pulau Pinang ditutup esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan pada tahap sangat tidak sihat.

Penutupan itu membabitkan 243,972 pelajar dan 399 sekolah di semua lima daerah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) 5.15 petang tadi.

“Kemungkinan bacaan IPU akan naik malam ini, jadi keseluruhan sekolah di Pulau Pinang ditutup esok.

“Dijangka tiada hujan selama 10 hari diikuti angin Monsun Barat Daya yang kuat dari Sumatera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Penutupan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah dan Kolej Vokasional.

Terdahulu, sebanyak 51 sekolah di daerah Barat Daya ditutup hari ini, diikuti 111 sekolah di Timur Laut pada 12 tengah hari.

Selain itu, Universiti Sains Malaysia (USM) juga turut mengumumkan penangguhan pembelajaran dan pengajaran hari ini berikutan keadaan jerebu yang teruk.

Sehingga 5 petang hari ini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) melaporkan bacaan IPU di Balik Pulau (260) dan Minden (232).

Seberang Perai pula menunjukkan bacaan 193 dan Seberang Jaya (189).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:21 PM