Amhari Efendi hadir pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


BEKAS pegawai khas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau menerima ‘duit poket’ dari ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, jika ada perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak berhubung wang lain yang diterima dari Jho Low selain daripada pinjaman AS$200,000 untuk pembelian rumahnya.

Amhari berkata beliau tidak ingat berapa kali ada menerima wang daripada Jho Low tetapi mendakwa ia diterima ketika menemani bekas Perdana Menteri bagi urusan perjalanan rasmi ke luar negara.

SHAFEE: Kamu kata ada menerima wang lagi dari Jho Low, berapa banyak?

AMHARI: Saya tidak ingat.

SHAFEE: Kamu ke Abu Dhabi, ada Jho Low beri kamu wang?

AMHARI: Tidak, saya rasa tidak.

SHAFEE: Bagaimana ketika kamu pergi ke Bangkok, Thailand?

AMHARI: Wang deposit diberikan oleh lelaki warga Thailand.

SHAFEE: Bila Jho Low beri kamu wang?

AMHARI: Ketika perjalanan ke New York bagi acara rasmi bersama Perdana Menteri (ketika itu Najib). Dia beri saya wang beberapa ribu mata wang Amerika Syarikat.

SHAFEE: Bila lagi kamu terima wang daripada Jho Low?

AMHARI: Saya tidak ingat.

SHAFEE: Kamu terima wang lagi, mesti kamu akan ingat di mana selain New York?

AMHARI: Mungkin di London.

SHAFEE: Ketika itu perjalanan rasmi bersama Perdana Menteri (ketika itu Najib)?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Setiap kali ada perjalanan Jho Low ada bersama?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Di London, Jho Low beri kamu ‘duit poket’?

AMHARI: Ya

SHAFEE: Kamu tahu dia beri wang kepada pegawai lain juga?

AMHARI: Saya tidak tahu.

SHAFEE: Ketika Jho Low beri wang, beliau tidak beri secara terbuka?

AMHARI: Tidak.

Sementara itu, Amhari menafikan bahawa tindakan menjual rumahnya adalah perkara yang difikirkan kemudian (afterthought) iaitu sebagai melindungi perbuatan Jho Low yang memberikan beliau wang sebanyak AS$200,000 dari Jho Low ketika itu.

Amhari sebelum ini ada memberitahu mahkamah bahawa Jho Low ada memberi beliau pinjaman wang jangka masa pendek bagi pembeliah rumah bernilai RM1.85 juta di Kota Damansara, Selangor.

SHAFEE: Sebenarnya kamu tidak serius dalam proses penjualan rumah kamu itu. Kamu tidak meminjam wang daripada Jho Low tetapi sebenarnya wang itu adalah hadiah untuk kamu?

AMHARI: Tidak setuju.

SHAFEE: Kamu peroleh wang ini pada April dan permohonan jualan rumah itu ditolak pada Ogos. Apa maksud kamu berhubung pinjaman jangka masa pendek ini? Kamu simpan duit Jho Low dalam akaun kamu?

AMHARI: Saya tidak setuju.

Terdahulu, Amhari memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya pergi dua kali ke rumah Jho Low di 3 Kia Peng yang terletak di KLCC bagi diterangkan berhubung Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

SHAFEE: Apa keperluan kamu untuk jumpa Jho Low? Dalam ramai-ramai orang kenapa kamu? Apa dia kata? Apa yang penting untuk awak dijelaskan?

AMHARI: Saya dilihat sebagai wakil Timbalan Perdana Menteri kerana saya sudah mendapat persetujuan (ketika Najib masih Timbalan Pendana Menteri) untuk menguruskan TIA.

Prosiding dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:51 PM