YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat malam ini sempena Sambutan Hari Pahlawan 2019 di Masjid Negara.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 7.10 malam disambut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beberapa menteri kabinet turut kelihatan termasuk Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Selepas selesai majlis berkenaan, baginda berdua beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat ke majlis santapan malam.

Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri, hari ini memaklumkan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2019 yang ditetapkan esok di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya ditangguhkan.

Ia berikutan keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat.

Penganjuran acara sambutan Hari Pahlawan tahun ini di peringkat Persekutuan diadakan bulan ini daripada tarikh pengisytiharan asal iaitu 31 Julai.

Perubahan tarikh itu untuk memberi laluan dan mengelakkan pertindihan dengan beberapa acara untuk Istiadat Pertabalan Sultan Abdullah pada 30 Julai lalu dan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi baginda 9 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 10:35 PM
Yang di-Pertuan Agong berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan 2019 di Masjid Negara. FOTO Hafiz Sohaimi