Sebanyak 2,459 sekolah di seluruh negara ditutup esok berikutan bacaan IPU pada paras sangat tidak sihat. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria


SEBANYAK 2,459 sekolah di lapan negeri diarahkan tutup berikutan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan malam ini berkata, arahan itu dibuat selepas kawasan terbabit mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 iaitu sangat tidak sihat.

Menurutnya, penutupan sekolah itu membabitkan 1,732,842 murid dan pelajar.

Di Selangor, 939 sekolah diarahkan tutup membabitkan 911,874 murid dan pelajar bermula esok hingga Jumaat ini (19 sehingga 20 September ini).

Turut ditutup 296 sekolah di Kuala Lumpur membabitkan 217,531 pelajar; Pulau Pinang, 399 sekolah (243,972 pelajar) dan Putrajaya, 25 sekolah (27,531 pelajar) bagi tempoh sama.

Dalam pada itu, di Perak 250 sekolah diarahkan tutup esok (19 September) membabitkan 88,028 pelajar.

Turut ditutup bagi tempoh sama adalah Sarawak iaitu 373 sekolah (157,466 pelajar); Kedah, 124 sekolah (58,241 pelajar) dan Negeri Sembilan, 53 sekolah (28,073 pelajar).

Sementara itu, lapan kawasan di negara ini merekodkan IPU sangat tidak sihat setakat 10 malam ini.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan Johan Setia, Klang mencatatkan IPU tertinggi dengan bacaan 244.

Di Pulau Pinang, dua kawasan mencatatkan IPU sangat tidak sihat adalah Balik Pulau dengan bacaan 245 diikuti Minden (216).

Lima kawasan di Sarawak turut mencacatkan bacaan sangat tidak sihat iaitu Kuching dengan IPU 229, Samarahan (207), Sarikei (202) Sri Aman (228) dan Sibu (202).

Sementara itu, 40 kawasan lain mengalami kualiti udara tidak sihat manakala 10 dikategorikan sederhana dan tiada stesen yang merekodkan bacaan IPU baik.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 tahap berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:45 PM