SEMUA sekolah sesi petang di daerah Manjung ditutup semalam, susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras sangat tidak sihat melebihi 200. FOTO Noor Hidayah Tanzizi/ Arkib NSTP
BERNAMA

SEBANYAK 250 sekolah di empat daerah di Perak ditutup hari ini, berikutan keadaan jerebu bertambah buruk melanda kawasan berkenaan.

Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, penutupan itu membabitkan 137 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang Dan Selama dan 71 sekolah di bawah PPD Kerian.

Selain itu, beliau berkata, ia turut membabitkan 38 sekolah di bawah PPD Kuala Kangsar dan empat sekolah di bawah PPD Hulu Perak.

“Penutupan kesemua 250 sekolah berkenaan membabitkan seramai 88,028 murid,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Taiping berada pada paras tidak sihat iaitu 139, setakat 7 pagi ini.

Hari ini, 303 sekolah di daerah Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah dibuka semula berikutan kualiti udara di kawasan itu bertambah baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:46 AM