Nor Amalina Alias


PEKA dengan masalah kecurian motosikal, dua pelajar Kolej Vokasional (KV) Bachok tampil mencipta sistem menghidupkan motosikal menggunakan imbasan cap jari.

Ciptaan yang dinamakan ‘Fingerprint Bike Starter’ dibangunkan Wan Amiruddin Wan Amran dan Adeeb Aideen Mat Yusof, masing-masing 19 tahun bagi memenuhi projek tahun akhir Diploma Jurusan Teknologi Elektronik, kolej vokasional itu.

Wan Amiruddin berkata, mereka mengambil masa selama enam bulan bagi mencipta sistem berkenaan termasuk membina prototaip dan menguji sistem itu pada motosikal.

Katanya, sistem menghidupkan motosikal menggunakan cap jari itu boleh dipasang di motosikal dan kereta yang menggunakan butang elektronik.

“Idea menghidupkan motosikal guna cap jari datang apabila kami lihat banyak kes kecurian motosikal kerana menggunakan penghidup elektrik yang boleh ditekan sesiapa saja.

“Jadi kami naik taraf sistem ini dengan hanya cap jari pemilik atau orang yang sudah direkod dalam sistem sahaja boleh menghidupkan motosikal itu.

“Sebuah motosikal, sebanyak 127 cap jari boleh dimasukkan ke dalam sistem pemasangan,” katanya ketika ditemui dalam program ‘Inreach Fair and KV Skills Competition’ 2019 di KV Bachok, Tangok, di Bachok, semalam


ADEEB Aideen Mat Yusof, 19, (dua dari kanan) dan Wan Amiruddin Wan Amran, 19 (dua dari kiri) bersama pensyarah mereka mempamerkan ciptaan sistem menghidupkan motosikal menggunakan imbasan cap jari bagi mengelakkan motosikal dicuri ketika pameran projek pelajar tahun akhir di Kolej Vokasional Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

Bagi Adeeb Aideen pula, ciptaan ini menggunakan perisian Arduino yang dilengkapi sistem rakaman suara dan paparan kristal cecair (LCD) dengan perkakasan elektronik seperti alat pengimbas jari ditempah daripada luar negara.

“Sistem ini dipasang terus ke dalam enjin kenderaan, jadi tidak memerlukan bateri atau bantuan caj.

“Fungsinya sama sahaja seperti butang penghidup automatik cuma bezanya sistem ini memerlukan imbasan cap jari orang tertentu saja, tanpa cap jari pemilik yang sah, motosikal tidak boleh dihidupkan sekali gus mengelakkan kecurian motosikal,” katanya yang akan mendaftar hak intelek ciptaan itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, walaupun sistem itu baru dibangunkan mereka sudah menerima beberapa tempahan memasang sistem keselamatan itu dalam kalangan pelajar dan pensyarah kolej.

“Kami boleh siap memasang sistem ini di kenderaan dalam masa 12 hari jika alatan cukup lengkap,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:33 AM
PEMILIK hanya perlu mengimbas jari mereka untuk menghidupkan enjin motosikal. FOTO Nor Amalina Alias