MOHAMAD Izat Danial, 23, (kanan) yang menjadi pengganti arwah papa dan umminya yang maut dalam kemalangan pada 16 Ogos lalu bergambar dengan adik-beradiknya sebagai kenangan sebelum meneruskan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Rahmat, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


“TANPA arwah papa dan mama, berat hati untuk tinggalkan empat adik namun saya perlu kuatkan hati untuk ubah nasib keluarga,” kata Mohamad Izat Danial Che Azmi, 23.

Mohamad Izat adalah salah seorang daripada lima anak Che Azmi Che Hamzah, 48, dan Nor Hayati Mohamed, 43, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya di Gua Musang, 16 Ogos lalu.

Kemalangan turut mengakibatkan pemandu van Toyota Hiace, Zulfaizan Muhamad, 43, berasal dari Pasir Puteh turut maut.

Mohamad Izat berkata dia perlu meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selepas bercuti panjang berikutan kematian ibu bapanya.

Katanya, kini empat adiknya berusia tujuh hingga 18 tahun tinggal bersama ibu saudaranya Norani Mohamed, 54, di Kampung Rahmat di Gua Musang.

“Sebagai abang yang sulung, kini saya perlu menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa mereka.

“Sudah tentu saya berat hati untuk tinggalkan mereka, namun demi masa depan, saya perlu kuatkan hati dan mereka juga perlu belajar berdikari.

“Saya akan pegang pesanan arwah papa dan mama sebelum ini supaya belajar bersungguh-sungguh untuk bantu keluarga,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang, hari ini.

Menurutnya, dia juga terhutang budi kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan bagi membolehkan meneruskan pengajian di universiti itu.

“Bantuan orang ramai untuk saya meneruskan pengajian sudah lebih daripada mencukupi dan bertekad menggenggam segulung ijazah. Sumbangan itu turut diagihkan kepada empat lagi adik untuk persekolahan mereka,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Pilu hati Nur Damia
  • 'Adik nak jumpa mama'
  • Suami isteri antara tiga maut
  • Ajal selepas ziarah jenazah saudara
  • Pasangan suami isteri dikebumi bersama
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 11:52 AM