AMHARI Afendi hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


SAKSI kelapan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Amhari Efendi Nazaruddin menafikan bahawa beliau menyimpan beberapa dokumen sulit membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho untuk mengenakan Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, dakwa Amhari, beliau menyimpan dokumen itu di rumah milik sepupunya kerana pada ketika itu rumahnya digunakan untuk kempen pilihan raya umum .

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung dokumen yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan dibuat terhadapnya.

Dalam prosiding hari ini, Muhammad Shafee merujuk saksi senarai barangan yang dirampas oleh SPRM termasuk dokumen membabitkan Jho Low.

Peguam yang mewakili Najib itu meminta Amhari mengenal pasti dokumen yang diberikan Jho Low yang disimpan dalam tiga buah rumah termasuk rumahnya yang diserbu SPRM ketika itu.

Saksi sebelum ini ada memberitahu mahkamah bahawa ada dokumen yang membabitkan Jho Low sudah ‘dimusnahkan’ dan ada yang disimpan akibat ‘terlepas pandang’.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu bahawa ia bukan tersalah pandang tetapi sebenarnya ia digunakan bagi menyelamatkan diri? Ini adalah kerana terlalu banyak dokumen yang ‘terlepas pandang’

AMHARI: Tidak setuju. Banyak kertas kerja di bawah jabatan saya ketika itu sudah dimusnahkan.

SHAFEE: Kenapa kamu lakukan begitu? Adakah kerana kamu mahu melakukannya atau kerana Jho Low yang meminta kamu berbuat begitu?

AMHARI: Kedua-duanya.

SHAFEE: Saya cadangkan, kamu sebenarnya sudah lama kenal Jho Low dan tahu dia seorang memanipulasi dan kamu simpan semua dokumen sebagai ‘insurans’?

AMHARI: Saya tidak setuju.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa kamu simpan dokumen ini dan bekerjasama dengan SPRM bagi mengelakkan diri kamu didakwa atas kesalahan?

AMHARI: Tidak setuju.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu sebenarnya kamu mahu mengenakan anak guam saya?

AMHARI: Tidak setuju

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Amhari bersetuju bahawa Najib juga berkemungkinan di manipulasi oleh Jho Low.

Beliau berkata demikian ketika dirujuk kepada keterangan beliau yang mengatakan Jho Low seorang ketua memanipulasi.

SHAFEE: Dalam keterangan kamu sendiri, kamu tidak mengatakan Najib manipulasi tetapi sebaliknya hanya mengatakan Jho Low seorang ketua manipulasi?

AMHARI: Ya saya mengatakan hanya Jho Low seorang yang memanipulasi.

SHAFEE: Saya mahu mendapatkan penjelasan daripada kamu, adakah ini bermakna Najib tidak terbabit dengan manipulasi ini?

AMHARI: Ya betul.

SHAFEE: Kamu dakwa kamu dan arwah Azlin (Ketua Setiausaha Sulit Najib, Datuk Azlin Alias) dimanipulasi Jho Low, saya cadangkan bahawa terdapat kemungkinan Najib juga dimanipulasi oleh Jho Low?

AMHARI: Ya ada kemungkinan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 12:14 PM