PELAJAR Kelas Aliran Agama (KAA) SMK Anderson Ipoh memakai topeng muka ketika sesi pembelajaran. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Shamsul Kamal Amarudin


SEMUA sekolah di Perak akan kembali dibuka dan beroperasi seperti biasa esok berikutan keadaan jerebu semakin baik setakat petang ini.

Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Stesen Taiping pada jam 5 petang menunjukkan bacaan IPU di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun.

“Semua sekolah di daerah Larut Matang dan Selama, Kerian, Kuala Kangsar dan Hulu Perak akan kembali beroperasi seperti biasa pada hari esok iaitu Jumaat, 20 September 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Katanya, pihak sekolah juga diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.

Hari ini, sebanyak 250 sekolah di empat daerah berkenaan ditutup berikutan keadaan jerebu bertambah buruk melanda kawasan berkenaan.

Penutupan itu membabitkan 137 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang dan Selama, 71 sekolah di bawah PPD Kerian, 38 sekolah di bawah PPD Kuala Kangsar dan empat sekolah di bawah PPD Hulu Perak.

Penutupan semua 250 sekolah membabitkan 88,028 murid dan pelajar.

Semalam, 303 sekolah di Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah ditutup berikutan kualiti udara di kawasan itu menunjukkan IPU melebihi 200, tetapi dibuka semula hari ini selepas bacaan kembali menurun di bawah 200.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:21 PM