OPERASI pembenihan awan di sekitar Semenanjung susulan jerebu yang semakin teruk. FOTO AZIAH AZMEE
BERNAMA

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan operasi itu berjaya menghasilkan hujan terutama di utara Semenanjung walaupun tidak secara menyeluruh iaitu di Balik Pulau dan Seberang Prai di Pulau Pinang serta Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Menurut kenyataan itu, antara cabaran dihadapi pasukan OPA dalam operasi berkenaan adalah kesukaran mencari awan sesuai akibat jerebu tebal dan kesukaran pesawat melalui kawasan sasaran di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar disebabkan bentuk muka bumi berbukit-bukau.

“Selain itu, pesawat juga mengalami kesukaran meningkatkan keberkesanan OPA di Selangor dan Kuala Lumpur kerana kebenaran penerbangan terhad sehingga ketinggian 4,000 kaki sahaja supaya tidak mengganggu aliran trafik udara,” kata kenyataan itu.

Pesawat TUDM bagi operasi itu berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang kira-kira jam 12.45 tengah hari dan mendarat semula di pangkalan sama jam 3.50 petang.

MetMalaysia akan terus memantau keadaan atmosfera dari semasa ke semasa dan melaksanakan OPA apabila keadaan atmosfera sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu di lokasi terbabit selaras Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:36 PM