BARANG yang dirampas daripada 13 lelaki Myanmar. FOTO ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


LAYAN syabu dulu, baru buat kerja. Demikian aktiviti 13 lelaki warga Myanmar yang menghisap dadah di dapur sebuah kilang memproses kayu tempat mereka bekerja, kelmarin.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar dan mereka ditahan selepas diserbu polis jam 8 malam.

Ketika serbuan, semua suspek berusia 17 hingga 50 tahun terbabit menghisap dadah di dapur kilang berkenaan sementara menunggu untuk menyambung kerja.

Sepasukan polis yang melakukan risikan dan menerima maklumat kegiatan itu masuk melalui pintu kilang yang tidak berkunci dan mendapati semua suspek terbabit khayal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dua plastik mengandungi syabu serta empat botol kaca yang diubahsuai untuk menghisap dadah dan pemetik api di atas meja.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut dan ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki di sebuah kawasan perumahan berhampiran kilang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:00 AM