901 sekolah rendah dan 136 sekolah menengah di kawasan barat dan tengah Sarawak terpaksa ditutup akibat jerebu. -Foto L MANIMARAN.
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 325, 392 pelajar di Sarawak bercuti apabila 1,037 sekolah diarah tutup akibat jerebu, hari ini.

Penutupan itu membabitkan 901 sekolah rendah dan 136 sekolah menengah di 20 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan barat dan tengah Sarawak.

Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Azhar Ahmad berkata, Sibu mencatat jumlah paling banyak apabila 116 sekolah ditutup, diikuti Padawan dengan 100 sekolah.

Kuching pula menyaksikan sebanyak 87 sekolah ditutup, Bau (44), Lundu (34), Sri Aman (41), Lubok Antu (30), Selangau (23), Kanowit (38), Julau (37), Meradong (36) dan Samarahan (59).

Turut ditutup 54 sekolah di Simunjan, Serian (86), Mukah (32), Dalat (29), Daro (45), Betong (54) dan Saratok (59).

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard penutupan sekolah berikutan kejadian jerebu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kesihatan murid dan guru terjamin,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 7 pagi, Sri Aman kembali mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya apabila mencapai bacaan 362.

Empat lagi Stesen Pengawasan Udara Automatik berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching dengan bacaan 250, Samarahan (228), Sibu (204) dan Sarikei (235)

Sementara itu, empat lagi kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Mukah (167), Bintulu (116), Samalaju (103) dan Miri (104).

Semalam, laman web World’s Air Pollution: Real-time Air Quality Index (WAQI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS),menyenaraikan enam lokasi di Sarawak antara kawasan pencemaran udara tertinggi dunia.

Ia berlaku berikutan masalah jerebu rentas sempadan apabila 788 tompok panas dikesan di Kalimantan dan 261 lagi di Sumatera, Indonesia, petang semalam.

Memburukkan lagi keadaan, sembilan tompok panas turut dikesan di Sarawak iaitu enam di Tatau, Marudi (2) dan Belaga (1).

Bagi mengurangkan keadaan berjerebu itu, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Sarawak hari ini.

Operasi berkenaan akan dilaksanakan dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching pagi ini bermula dengan membancuh garam sebelum penerbangan pesawat Hercules C-130 untuk menyembur larutan air bergaram itu dijadual tengah hari ini.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 7:47 AM