Bung Moktar ketika hadir ke mahkamah hari Ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Murni Wan Omar


PROSIDING bicara kes rasuah RM2.8 juta membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette ditetapkan selama 23 hari, bermula 2 Januari tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi ditolak.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 2 hingga 3 Januari, 10 Januari, 17 Januari, 24 Januari, 29 Januari dan 30 Januari.

Ia akan bersambung pada 7 Februari, 14 Februari, 21 Februari, 16 Mac hingga 20 Mac, 23 Mac hingga 26 Mac, 30 hingga 31 Mac dan 10 April serta 17 April.

Mahkamah turut mengingatkan pihak pendakwaan supaya semua dokumen berhubung kes termasuk pernyataan saksi diserahkan kepada pihak pembelaan pada pertengahan Disember.

Sementara, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 30 saksi bagi memberi keterangan dalam kes itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua dokumen berhubung kes itu sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Peguam Datuk K Kumaraendran hadir mewakili Zizie Izette, 41, manakala Bung Moktar, 60, diwakili peguam M Athimulan.

Pada 3 Mei lalu, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Zizie Izette yang juga seorang pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 12:37 PM