PENUMPANG beratur di kaunter daftar masuk selepas penerbangan semula pada tengah hari di LTSAS. FOTO Ihsan LTSAS.
Balqis Jazimah Zahari


TIGA penerbangan membabitkan 795 penumpang di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh dibatalkan lagi, hari ini akibat jerebu.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, ketiga-tiga penerbangan itu membabitkan pesawat Flyscoot dan AirAsia.

“Tiga penerbangan pergi dan balik dibatalkan, namun empat penerbangan yang dijadualkan semula semalam sudah berlepas pada 12.20 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Ali berkata, setakat tengah hari, jarak penglihatan yang dicatatkan di LTSAS adalah 8,000 meter dan segala maklumat berkaitan jadual penerbangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Semalam, kesemua lima penerbangan yang dijadualkan berlepas dari LTSAS terpaksa dibatalkan membabitkan pesawat AirAsia, Malindo Air dan Flyscoot.

Sementara itu, berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Ipoh masih mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 138 (Tasek) dan 107 (Pegoh).

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 2:48 PM