KEADAAN jerebu di Bandar Sri Aman kembali mencatat tahap berbahaya. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN SRI AMAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SELEPAS 11 jam, kualiti udara di Sri Aman Sarawak masih berada pada tahap bahaya sehingga jam 5 petang ini.

Data di laman Web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan berada pada bacaan 407.

Lokasi lain di Sarawak masing-masing di Kuching, Samarahan dan Sarikei terus kekal dengan bacaan IPU sangat tidak sihat.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) dijalankan di barat Sarawak, hari ini, untuk mengurangkan kesan jerebu teruk di negeri berkenaan.

Berdasarkan data APIMS, kebanyakan lokasi di Semenanjung sudah menunjukkan penurunan IPU pada tahap sederhana.

Kawasan lain yang masih mencatatkan IPU tidak sihat antaranya Putrajaya, Shah Alam, Nilai, Seremban, Miri, Mukah dan Sibu.

Jerebu dijangka berkurangan awal minggu depan selepas Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan tiupan Angin Barat Daya akan berubah menuju Timur.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Maklumat terkini mengenai bacaan IPU semasa boleh didapati di http://apims.doe.gov.my atau aplikasi MyIPU.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:19 PM