NORIAH bersama Muhamad memujuk Hafiq pada Majlis Meraikan Ulang Tahun Pertama PSIAKUT AZWAR TRG. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“JIKA diikutkan rasa malas dan malu, saya kurung saja anak di rumah serta tidak membawanya ke khalayak ramai.

“Namun saya dan suami tidak tergamak berbuat demikian, malah kami sayangkannya seperti anak lain,” kata Noriah Sulong, 55, ibu kepada Hafiq Muhaimi Muhamad, 17, penghidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir.

Noriah berkata, dia dan suaminya, Muhamad Musa, 59, tidak pernah menganggap anak istimewa terbabit sebagai beban kepada keluarganya.

“Sebaik saja suami bersara awal daripada tentera, saya melahirkan Hafiq dan sejak itu, kami saling bekerjasama menjaga Hafiq sehingga sekarang.

“Saya dan suami sepakat untuk memastikan Hafiq dilayan dan dibesarkan seperti anak lain, oleh itu kami tidak pernah mengecualikannya dalam apa saja aktiviti keluarga yang dijalankan,” katanya yang tinggal di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.

Noriah berkata, pelbagai pengalaman pahit dan manis dilalui sepanjang menjaga anak istimewanya itu.

“Kami pernah dicemuh dan dipandang sinis masyarakat kerana membawa Hafiq ke tempat awam.

“Kami membawa Hafiq bersiar-siar di taman permainan dan kawasan tumpuan ramai kerana ingin mendedahkannya dengan dunia luar supaya dia dapat menikmati suasana di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, sikap segelintir masyarakat masih memandang sinis menyebabkan ibu bapa memiliki anak menghidap CP memilih untuk tidak mendedahkan anak mereka pada khalayak ramai.

Katanya, sepatutnya masyarakat memberi sokongan dan galakkan kepada ibu bapa terbabit, bukannya membuatkan mereka berasa terasing dan tersinggung.

Sementara itu, Muhamad berkata, menjaga anak CP memerlukan kesabaran tinggi selain kerjasama semua ahli keluarga.

“Selain saya dan isteri, dua anak lagi iaitu Nur Ain, 27 dan Nur Haifa Izati, 24, turut membantu menjaga adiknya itu.

“Hafiq tidak boleh bercakap dan bergerak. Jadi kami perlu menguruskan dia sepenuhnya.

“Cabaran paling besar menjaga Hafiq adalah apabila sakit kerana dia menangis tanpa henti dan kami perlu bersabar dengan kerenahnya itu,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan termasuk elaun penjaga sebanyak RM350.

Katanya, bantuan bulanan itu digunakan untuk menampung perbelanjaan keperluannya seperti lampin pakai buang dan susu khas.

Pasangan terbabit bersama anaknya ditemui pada Majlis Meraikan Ulang Tahun Pertama Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Terlantar Azwar Terengganu (PSIAKUT AZWAR TRG).

Sementara itu, Yang Dipertua PSIAKUT AZWAR TRG, Shaarah Othman berkata, sehingga kini seramai 20 anak menghidap CP berdaftar dengan persatuannya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan lebih ramai anak istimewa menghidap CP.

“Melalui persatuan, banyak aktiviti dianjurkan untuk kebaikan semua anak menghidap CP itu.

“Aktiviti dijalankan dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan ibu bapa selain saling bertukar pandangan dan pengalaman di antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 12:24 AM