NORIAH dan suami bersama anak mereka dalam Majlis Meraikan Ulang Tahun Pertama PSIAKUT AZWAR TRG, semalam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“KALAU diikutkan malas dan malu, saya kurung saja anak di rumah serta tidak membawanya ke khalayak.

“Namun saya dan suami tidak tergamak berbuat demikian,” kata Noriah Sulong, 55, ibu Hafiq Muhaimi Muhamad, 17, penghidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir.

Noriah berkata, dia dan suaminya, Muhamad Musa, 59, tidak pernah menganggap anak istimewa sebagai beban kepada keluarganya.

“Sebaik saja suami bersara awal daripada tentera, saya melahirkan Hafiq. Bermula daripada itu, kami saling bekerjasama menjaga Hafiq hingga sekarang.

“Saya dan suami sepakat memastikan Hafiq dilayan dan dibesarkan seperti anak lain, oleh itu kami tidak pernah mengecualikannya dalam apa saja aktiviti keluarga,” katanya yang tinggal diTaman Semarak, Bukit Tunggal.

Sementara itu, Muhamad berkata, menjaga anak menghidap CP memerlukan kesabaran tinggi selain kerjasama semua ahli keluarga.

“Selain saya dan isteri, dua anak lagi iaitu Nur Ain, 27, dan Nur Haifa Izati, 24, membantu menjaga adiknya itu,” katanya.

Pasangan itu bersama anaknya ditemui pada Majlis Meraikan Ulang Tahun Pertama Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Terlantar Azwar Terengganu (PSIAKUT AZWAR TRG) di sini, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua PSIAKUT AZWAR TRG Shaarah Othman berkata, hingga kini 20 anak menghidap CP yang berdaftar dengan persatuannya.

“Kami sentiasa mengalu-alukan penyertaan lebih ramai anak istimewa yang menghidap CP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:45 AM