KERETA Perodua Myvi milik Munawarah Hamidi, 26, yang 'dilapik' dengan batu bata selepas keempat-empat tayar kenderaan itu hilang di kawasan sebuah pangsapuri di Taman Damai Mewah, Kajang, kelmarin. FOTO Ihsan mangsa
Nurul Hidayah Bahaudin


“MULANYA saya pelik melihat keadaan kereta agak rendah sebelum menyedari keempat-empat tayar sudah hilang dan diletakkan batu bata sebagai ‘pelapik’,” kata pemilik kereta Perodua Myvi yang kehilangan empat tayar kenderaan itu, Munawarah Hamidi, 26.

Menurut Munawarah, dia hanya menyedari kejadian itu 8.50 pagi, kelmarin, ketika mahu ke tempat kerja.

Katanya, dia meletakkan kereta itu di kawasan berhampiran pangsapuri didiaminya di Taman Bukit Mewah, Kajang, pada malam sebelum kejadian dalam keadaan baik.

“Pada pagi kejadian, saya bersama suami pergi ke kereta dan terkejut melihat keempat-empat tayar sudah hilang sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian itu.

“Jiran ada memaklumkan terserempak dengan empat lelaki sedang membuka tayar kereta saya pada 3.30 pagi, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana dia menyangkakan mereka adalah suami saya bersama rakan sedang membaiki kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Munawarah yang juga pembantu peribadi di syarikat insurans berkata, semakan dilakukan suaminya pada kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan itu mendapati terdapat kereta Perodua Viva warna putih dilihat masuk ke lokasi berkenaan pada waktu terbabit.

“Berdasarkan rakaman CCTV, kereta itu dilihat masuk ke kawasan berkenaan pada 2.59 pagi sebelum dilihat keluar 3.40 pagi. Bagaimanapun, rakaman itu gagal mengenal pasti individu yang berada dalam kereta terbabit kerana keadaan terlalu gelap.

“Sejak lebih setahun saya tinggal di kawasan pangsapuri terbabit, ini adalah kejadian pertama yang pernah berlaku di lokasi ini,” katanya yang memuat naik status mengenai kejadian itu di media sosial.

Katanya, status yang dimuat naik itu mendapat maklum balas daripada pemilik kereta Perodua Myvi lain yang turut kehilangan keempat-empat tayar kereta dalam tempoh beberapa hari lalu.

“Ada dua pemilik kereta Perodua Myvi yang tinggal di Bangi dan berhampiran Taman Damai Mewah memaklumkan kepada saya melalui mesej di Facebook bahawa mereka turut kehilangan keempat-empat tayar kereta mereka.

“Pemilik kereta itu juga memberitahu dalang yang mencuri tayar mereka juga menaiki kereta Perodua Viva berwarna putih dengan melakukan kegiatan itu pada waktu awal pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 2:08 PM