KONG Joon Chung, 74, ditemui selamat pasukan mencari dan menyelamat selepas dilaporkan hilang di tapak Jungle Trekking Bukit Kidurong. FOTO Erika George
Erika George


IMPIAN lelaki warga emas menamatkan larian amal yang disertainya tidak kesampaian apabila dia sesat di tapak Jungle Trekking Bukit Kidurong, Bintulu semalam.

Mangsa, Kong Joon Chung, 74, bagaimanapun ditemui selamat pada 9.45 pagi tadi selepas hampir 17 jam sesat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikatakan memulakan larian bersama rakannya pada 5.30 petang sebelum disedari hilang ketika rakannya yang lain tiba di garisan penamat.

“Anak lelaki mangsa kemudian bersama rakannya memasuki laluan terbabit untuk mencari, namun gagal menjejaki mangsa.

“Dia kemudian membuat laporan polis dan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut jurucakap itu, pihaknya memulakan SAR pada 1.45 pagi tadi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.32 pagi.

“Kawasan operasi yang gelap membuatkan SAR ditangguhkan sebelum disambung semula 8.05 pagi tadi.

“Selepas satu jam lebih operasi SAR disambung, kami dimaklumkan bahawa mangsa ditemui selamat oleh orang awam dan hanya cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 2:41 PM