KAPAL penguat kuasa Vietnam bertindak biadap menceroboh perairan negara dan mengganggu kapal KM Langkawi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Mohd Azam Shah Yaacob


SEBUAH kapal penguat kuasa Vietnam bertindak biadap apabila menceroboh perairan negara dan mengganggu aset Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di 167 batu nautika timur laut Tanjung Mat Amin, Terengganu, 18 September lalu.

Dalam kejadian jam 9.48 pagi itu, kapal FRS KN205 Vietnam itu cuba menghalang Kapal KM Langkawi milik Maritim Malaysia yang menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut.

Bagaimanapun, tindakan pantas kru KM Langkawi berjaya menggagalkan usaha kapal penguat kuasa Vietnam itu sekali gus mengusirnya keluar dari perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Ibrahim Mohamed berkata, dalam kejadian berkenaan, KM Langkawi sedang dalam perjalanan bagi mengiringi bot nelayan Vietnam yang ditahan bersama tiga kru dan tekong.

Katanya, dalam perjalanan ke Jeti Zon Maritim Kemaman, kapal penguat kuasa Vietnam cuba menghimpit bot tahanan yang diiring dan membuat pusingan berbahaya di hadapan KM Langkawi.

“Sebelum itu, kapal penguat kuasa Vietnam itu meminta KM Langkawi melepaskan bot nelayan terbabit.

“KM Langkawi menolak permintaan kapal terbabit dan kerana itu mereka cuba menghimpit dan melakukan aksi berbahaya sebelum berjaya diusir keluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bot nelayan Vietnam itu berjaya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman pada jam 6 petang, 19 September lalu dan Maritim Malaysia merampas sebanyak 9,000 liter diesel, peralatan menangkap ikan serta bot yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM700,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memilik dokumen pengenalan diri yang sah.

“Susulan kejadian itu, satu laporan dibuat kepada Wisma Putra dan Maritim Malaysia sudah menghubungi Penasihat Pertahanan Vietnam bagi mengadakan perbincangan bagi mengelak kejadian itu berulang namun malangnya mereka hanya akan bertemu wakil Maritim Malaysia pada minggu hadapan.

“Biarpun berlaku gangguan seperti itu, Maritim Malaysia akan tetap meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam,” katanya.

Menurut Ibrahim, sejak 2006 hingga kini, Maritim Malaysia berjaya menahan 1,272 bot nelayan asing bersama 10,408 kru dengan nilai rampasan mencecah RM1.2 bilion.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 784 bot dari Vietnam dengan jumlah kru seramai 7,399 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 2:43 PM