PENGAWAL keselamatan menutup pagar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang di Kuching akibat jerebu. FOTO arkib NSTP


JABATAN Pendidikan Sarawak perlu memberi kebenaran kepada guru di negeri ini bekerja dari rumah ketika sekolah ditutup akibat jerebu yang serius.

Setiausaha Agung Kesatuan Guru Sarawak, Chung Fui San berkata, terdapat banyak kerja yang boleh dilakukan guru dari rumah tanpa perlu berada di sekolah ketika cuaca berjerebu.

Beliau berkata, antaranya ialah menyemak kerja pelajar, menguji kertas peperiksaan, merancang pelajaran, menulis laporan, mencari sumber pengajaran dan membangun bahan ujian untuk peperiksaan akhir tahun.

“Meminta guru ke sekolah dalam keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan mereka.

“Sekiranya guru tidak berada dalam keadaan kesihatan yang baik apabila sekolah dibuka semula, mereka tidak mampu mengajar dengan berkesan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, apabila sekolah ditutup akibat jerebu, hanya pelajar dibenarkan tinggal di rumah, manakala guru perlu berada di sekolah.

Fui San berkata, kesatuan mahu kerajaan menempatkan sistem pemantauan kualiti udara di sekolah di kawasan Serian, Lundu dan Saratok yang belum ada kemudahan itu.

Beliau berkata, disebabkan tiada kemudahan itu sekolah di kawasan berkenaan tidak dapat ditutup, walaupun mengalami jerebu serius kerana hanya bergantung kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari tempat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 2:50 PM