KEADAAN kawasan rumah yang diroboh, di Paya Jaras. FOTO Arkib NSTP/Muhd Zaaba Zakeria.
Amirul Aiman Hamsuddin


PEMBANGKANG diingatkan tidak mempolitikkan isu perobohan rumah penduduk di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh semata-mata untuk meraih kepercayaan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi Dan Inovasi Selangor Hee Loy Sian berkata, terdapat ahli politik yang sengaja menimbulkan isu bagi meraih sokongan rakyat.

Beliau mendakwa, terdapat penduduk dihasut pembangkang sehingga tidak mahu memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri.

“Kita sudah pun menawarkan penduduk rumah transit dan rumah Selangorku sejak 2015. Tetapi, penduduk tidak mahu berpindah kerana ingin terus kekal di sana dan mendakwa rumah yang disediakan jauh dari tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Nipah anjuran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di Jeti Kampung Sungai Kajang Lama, di Tanjong Karang, hari ini.

Katanya, pihaknya menasihatkan penduduk berpindah ke rumah transit yang terletak hanya kira-kira empat kilometer dari penempatan asal untuk tinggal lebih selesa.

“Kita bukan sengaja robohkan rumah penduduk, sebaliknya mahu melebarkan Sungai Kedondong bagi menangani masalah banjir di Paya Jaras yang kerap kali berlaku.

“Perkara ini tertangguh sejak empat tahun lalu dan setiap tahun, kita terpaksa membayar ganti rugi kepada kontraktor,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling kelmarin, 55 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit memberi tempoh kepada pemilik 37 rumah lain sebelum dirobohkan bagi membolehkan anak mereka menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

Berita berkaitan:

  • Ke mana kami mahu pergi?
  • Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS
  • 'Kami semua bukan itik'
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 3:55 PM