POLIS mengiringi suspek berumur 40 tahun ketika ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Petaling Jaya berhubung kes bunuh seorang janda dalam balutan selimut di Petaling Jaya. FOTO Nik Hariff Hassan
Nurul Hidayah Bahaudin


BEKAS suami wanita yang ditemui mati dalam bungkusan selimut di rumahnya di Prima Damansara, Petaling Jaya, 11 September lalu, disambung reman selama enam hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, reman lelaki itu disambung semula selepas reman terdahulu selama tujuh hari tamat hari ini.

“Suspek berusia 40 tahun itu akan disambung reman selama enam hari bermula 22 hingga 27 September nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mangsa, Nor Hidayah Ahmad, 30, meninggal dunia selepas lemas akibat saluran pernafasan ditutup atau asphyxiation due to smothering selain dihentak dengan objek tumpul di kepala.

Mayat mangsa ditemui bapanya berusia 61 tahun dalam keadaan dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup timbunan bantal dalam bilik di rumah sewanya di pangsapuri itu kira-kira 6 petang.

Suspek berasal dari Johol, Negeri Sembilan yang bekerja sebagai operator kilang kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan pada 15 September lalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Bekas suami direman tujuh hari

Serah diri selepas tiga hari

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 4:27 PM