ORANG ramai berpeluang menggunakan air perigi Hang Tuah, di Kampung Duyong. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


ISU air yang melanda Melaka ketika ini turut menjadi faktor Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong menjadi tumpuan umum termasuk penduduk setempat dan pelancong.

Perigi terbabit yang dipercayai digali pahlawan terbilang Hang Tuah, terletak di Perkampungan Hang Tuah itu tidak pernah kering walaupun Melaka pernah mengalami krisis air terburuk, 28 tahun lalu.

Penduduk, Ismail Bujang ,59, berkata, sejak negeri ini mengalami masalah air dan catuan kebelakangan ini, kunjungan orang ramai didapati meningkat.

Katanya, dia mendapati penduduk bersama keluarga mereka mendapatkan bekalan air bersih dari perigi itu untuk dibawa pulang ke kediaman masing-masing.

Baginya, perkara itu biasa berlaku berikutan tiada sebarang bayaran dikenakan untuk mengambil dan menggunakan bekalan air di perigi berkenaan.

“Air di perigi itu tidak pernah kering walaupun ketika krisis air teruk yang berlaku sekitar 90-an sehingga ianya menjadi tumpuan yang amat ramai untuk mendapatkannya.

“Paras air hanya akan sedikit menyusut ketika penggunaan maksimum, tetapi selepas waktu Subuh airnya kembali ke paras normal,” katanya.

Menceritakan pengalaman lalu ketika masih kecil, Ismail berkata, penduduk masih boleh mencedok air dari perigi itu menggunakan tangan untuk diminum berbanding ketika ini terpaksa menimba dengan baldi.

Peniaga, Azizah Saleh, 56, berkata, air di perigi terbabit sangat jernih sehingga mendapat perhatian pelancong dalam dan luar negeri lebih kerap ke destinasi berkenaan pada cuti hujung minggu dan kelepasan am.

“Pada asalnya, perigi ini agak kecil, tetapi lama-kelamaan ia menjadi besar dan mendalam,” katanya.

Perigi terbabit diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan kedalamannya dikatakan sehingga 1.8 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 4:30 PM