ANTARA kawasan Kampung Baru yang akan di naik taraf Perbadanan Kampung Baru. FOTO Mohd Yusni Ariffin


RATA-RATA penduduk Kampung Baru bersetuju dengan pembangunan yang akan di buat di situ, namun, kurang bersetuju dengan nilai tanah yang ditawarkan.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dalam Majlis Town Hall Pembangunan Kampung Baru di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, hari ini menawarkan harga maksimum RM850 setiap kaki persegi kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

Lebih 2,000 daripada 6,971 waris dan pemilik menghadiri program itu untuk mendengar penjelasan mengenai tawaran mendapatkan tanah bagi tujuan pembangunan semula.

Seorang daripada pemilik tanah, Siti Zakiah Othman, 66 berkata, dia sangat bersetuju dengan pembangunan yang akan dilakukan di Kampung Baru memandangkan perkampungan Melayu itu sudah buruk dan perlu dinaik taraf.

“Pelan pembangunan yang dicadangkan itu juga cantik. Cuma harga yang ditawarkan saja, kalau boleh naikkan sikit. Minimum sekurang-kurangnya RM1,000 bagi setiap kaki persegi,” katanya.

Bagi, Baharuddin Abdul Karim, 55, berkata, mereka mahu pembangunan semula di kawasan itu tetapi harga tawaran mesti munasabah.

“Sekiranya tempat berdekatan, seperti KLCC boleh mencecah sehingga RM5,000 kaki persegi, kami akan menerima pada harga RM4,500 bagi setiap kaki persegi.

“Bantu kami (Melayu) melalui ekonomi supaya kita dapat memperluaskan perniagaan kita dengan wang yang diterima itu. Bagi yang sudah berusia 60-an mereka boleh bersara dan hidup dengan selesa,” katanya.

Seorang lagi pemilik tanah, Zainal Idris, 73 berkata, harga yang ditawarkan oleh kerajaan itu baginya agak kurang memuaskan.

“Mestilah pak cik nak harga yang lebih tinggi, sekiranya boleh. Siapa nak harga yang rendah. Sekiranya boleh harga setiap kaki persegi ditawarkan pada harga RM1,200 hingga RM1,500.

“Jika tak boleh harga itu, pak cik tak nak jual. Kalau harga yang ditawarkan itu nanti memuaskan, baru pak cik akan pilih kombinasi pulangan tunai dan unit siap,” katanya yang tinggal di Kampung Piuk, Kampung Baru, di sini.

Dalam pada itu, pewaris tanah, Yusnita Md Yunus, 42, berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain perlu bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

Katanya, dia berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan lagi harga yang ditawarkan antara RM1,000 hingga RM1,500 kaki persegi.

Sementara itu, pewaris tanah Kampung Baru dan juga peniaga, Mohd Izwan Zakaria, 38, berkata, dia tidak bersetuju dengan tawaran yang diberikan berikutan tiada laporan lengkap dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Pembangunan bagi saya tiada masalah. Cuma kami perlu laporan lengkap daripada JPPH yang menyebut harga sedemikian. Sekiranya tiada laporan penilaian tanah, bagaimana kami nak buat keputusan.

“Laporan daripada JPPH perlu diberikan kepada penduduk. Kalau tiada laporan maka perkara ini tidak akan menjadi adil,” katanya.

Dalam majlis terbabit juga, penduduk juga turut diberi borang tindak balas untuk menyatakan sama ada mereka setuju dengan tawaran yang diberikan dan ia perlu diserahkan semula dalam tempoh dua minggu bermula daripada hari ini.

Berita berkaitan

Empat tawaran untuk pemilik, pewaris tanah Kampung Baru

Bukan nak keluarkan Melayu - PM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:01 PM