GAMBAR hiasan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DI SEBALIK keindahan Masjid Sultan Ahmad 1 yang berstatus masjid negeri di Jalan Mahkota, Kuantan, ia turut menyimpan kisah tidak enak didengar.

Manakan tidak, selesai saja solat Isyak, kumpulan penagih dadah dan penghidu gam akan menjadikan hamparan batu di menara jam masjid sebagai tempat bermalam.

Malah kerap kedengaran luahan dan rungutan pengurusan masjid serta pengguna mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang terletak kira-kira 30 meter dari kawasan itu kepada pihak berkuasa supaya ia diatasi namun tetap berulang.

Harian Metro yang melakukan tinjauan sekitar jam 2 hingga 5 petang serta 11 malam hingga 1 pagi mendapati kawasan itu seolah menjadi tempat lepak penagih dan penghidu gam.

Dalam keadaan ‘lalok’ atau separuh sedar, mereka berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu orang ramai yang lalu di kawasan itu.

Menurut Azlisham Mohamad Sahri, 36, dia pernah diganggu penghidu gam yang meminta wang selepas dia melakukan pengeluaran di mesin ATM.

“Mereka tanpa segan silu datang dan minta wang kononnya untuk membeli makanan. Perkara ini sangat tidak selesa kepada saya apatah lagi kepada kaum wanita yang akan berasa takut.

“Malah pada waktu malam atau ketika wanita berseorangan, ia lebih bahaya dan mengundang kejadian tidak diingini,” katanya hari ini.

Katanya, walaupun operasi sering dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) namun kumpulan itu akan muncul beberapa hari selepas itu dengan menjadikan kawasan menara jam masjid sebagai tempat tidur.

Tinjauan mendapati, selain menghidu gam dan mengganggu orang ramai, mereka turut berkelakuan seperti orang tidak siuman dengan menyanyi dan membuat bising.

Malah mereka didakwa membuang air kecil di kawasan berkenaan.

Pengunjung, Razman Shah Othman, 33, yang sering menghantar anaknya ke kelas agama di masjid itu sering melihat gelagat penagih dan penghidu gam membuat onar.

“Anak saya pernah mengadu mereka (penghidu gam) mengganggu murid sekolah hinggakan ada dalam kalangan murid takut hendak ke sekolah.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana ia mengganggu ketenteraman awam selain merosakkan pemandangan kawasan masjid. Saya bimbang berlaku kejadian kehilangan barangan dan peralatan masjid sekiranya mereka dibiarkan berada di kawasan ini,” katanya.

Dia turut mencadangkan supaya pemantauan pihak berkuasa seperti AADK dan polis lebih kerap ke kawasan itu bagi memastikan aktiviti penagihan dadah dan menghidu gam dapat dibanteras.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:16 PM