Yusmizal Dolah Aling


KONGSI nilai kemanusiaan menerusi silap mata. Inisiatif itu diambil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat di negara ini mengenai keprihatinan dalam konflik kemanusiaan di seluruh dunia.

Menerusi kerjasama bersama pakar silap mata Kenny Yas, ia membuka lembaran baru di dalam gerak kerja ummah yang menggabungkan aktivis masyarakat bersama ahli seni silap mata di dalam satu pasukan.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, usaha berkenaan diambil sebagai salah satu lonjakan kepada program kemanusiaan kelolaan badan bukan kerajaan itu.

Katanya, kepakaran Kenny di dalam bidang silap mata mampu menjadi tarikan kepada masyarakat di negara ini untuk sama-sama menyumbang dan dan turut serta dalam program kemanusiaan yang dijalankan selain sebagai elemen seni untuk menghiburkan orang ramai.

“Sebelum ini MAPIM mencuba pelbagai cara untuk kita suburkan program kemanusiaan antaranya membabitkan artis, tokoh tertentu dan individu berpengaruh.

“Kali ini kita akan bergabung bersama ahli silap mata dan mengadakan pelbagai program untuk menyantuni ummah,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Azmi berkata, antara projek terbaru MAPIM ialah misi ke Kashmir, India, Yaman serta melihat perkembangan bantuan di Palu dan Kenny juga akan turut terbabit mengikut kesesuaian.

Sementara itu, Kenny yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Silap Mata Antarabangsa (FISM) dan berpengalaman sebagai ahli silap mata profesional sejak lebih 15 tahun lalu berkata, dia turut teruja bersama-sama MAPIM menggerakkan usaha membantu umat Islam khususnya yang berada di zon konflik.

Katanya, ia akan memberikan pengalaman berharga terutamanya dapat belajar bagaimana menjadi sukarelawan di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini saya pernah beberapa kali membuat persembahan di Indonesia untuk mengumpulkan sumbangan kepada pelarian Rohingya.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan saya harap dapat terus menyumbang kepada ummah dengan bakat yang saya ada,” katanya yang juga Duta Kemanusiaan MAPIM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:58 PM
MOHD Azmi melihat aksi ahli silap mata, Kenny Yas (kanan) ketika ditemubual di pejabat MAPIM Seksyen 13, Shah Alam.