MOHD Khalil (dua dari kiri) bersama Abdul Hamid (tengah) pada sidang media rampasan kokain bercampur arang batu di Bayan Baru, Bayan Lepas, semalam. FOTO Mikail Ong.
Mohd Azam Shah Yaacob


CAMPURAN kokain dalam arang batu seberat 12 tan bernilai RM2.4 bilion yang dirampas polis di Butterworth, Pulau Pinang pada 10 September lalu dipercayai dibawa masuk ke negara ini untuk diproses menjadi serbuk.

Malah, sindiket menguruskan dadah itu dipercayai sudah membuat persediaan bagi memproses dadah berkenaan termasuk kemungkinan membina makmal dadah sendiri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, polis percaya sebaik ia diproses menjadi serbuk, dadah itu akan dihantar ke negara ketiga.

Beliau berkata, kokain adalah antara dadah paling mahal dalam pasaran dadah dunia dan tidak mempunyai permintaan di negara ini.

“Dadah ini hanya mempunyai permintaan di beberapa negara tertentu sahaja berikutan harganya yang mahal.

“Polis percaya sindiket pengedaran dadah antarabangsa cuba menjadikan Malaysia sebagai transit atau hub untuk memproses serta mengedarkannya kepada negara lain berikutan beranggapan pihak berkuasa mungkin terlepas pandang mengenainya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sidang media mengenai kejayaan terbesar itu dilakukan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bayan Baru, Bayan Lepas, semalam.

Mohd Khalil berkata, sindiket pengedaran antarabangsa itu dipercayai mempunyai pertalian dengan sindiket dadah di negara ini.

Katanya, ia kerana dadah itu hanya dialamatkan ke Pulau Pinang dan polis masih melakukan siasatan terperinci sama ada sindiket menguruskan dadah itu di negara ini sudah mempunyai alamat pembeli di negara lain.

Semalam, Harian Metro melaporkan kejayaan polis membongkar kegiatan penyeludupan dadah jenis kokain bercampur 60 guni arang batu yang dimuatkan dalam tiga kontena di Butterworth.

Kontena berisi dadah bercampur arang batu itu tiba di Pulau Pinang sejak 16 Ogos lalu dan polis pada mulanya berdepan kesukaran mengesan dadah berkenaan sebelum berjaya mengesannya menggunakan peralatan canggih milik Jabatan Kimia Malaysia.

Susulan itu, polis yang melancarkan Op Eagle menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang menguruskan kontena berkenaan pada hari sama dadah itu ditemui.

Suspek yang positif dadah jenis methaphetamine kini direman selama 14 hari sehingga 23 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita berkaitan

'Dadah hitam' RM2.4 bilion

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:17 PM