PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat pameran hartanah MyRumah 2019 anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di pusat beli-belah Kuantan City Mall (KCM). FOTO Asrol Awang

PEMAJU perumahan yang menyertai pameran hartanah MyRumah 2019 anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di kompleks beli-belah Kuantan City Mall, Kuantan gembira dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang tertarik dengan promosi hartanah ditawarkan.

Lebih menggembirakan, pameran MyRumah 2019 yang berlangsung tiga hari bermula kelmarin, menarik pengunjung untuk memiliki hartanah seperti rumah dan bangunan komersial.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran OCR Group Berhad, Norul Hudai Mat Othman berkata, dua unit rumah daripada 1,124 unit yang dibangunkan di Jalan Kuantan-Pekan di sini, berjaya dijual pada hari pertama pameran.

Katanya, dengan harga daripada RM137,000 hingga RM196,000, ramai pengunjung berminat membeli rumah berkembar dan rumah teres.

“Lokasi yang strategik kerana terletak di tengah antara Kuantan dan Pekan mendorong orang ramai untuk memiliki rumah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Nurul Farhana Mohd Daud berkata, syarikat itu menawarkan dua projek rumah di Kemaman dan Marang, Terengganu.

Katanya, projek perumahan di Wakaf Tapai, Marang menawarkan sembilan unit banglo dan rumah berkembar berharga RM229,000 hingga RM379,000.

“Bagi Taman Rakyat Bistari @ Bukit Kuang, Kemaman, 84 unit rumah, kedai dan pejabat dijual bermula daripada RM192,100 hingga RM440,000.

“Ini julung kali kami menyertai Pameran MyRumah. Kami berpuas hati dengan sambutan diberikan pengunjung khususnya warga Kuantan,” katanya.

Pameran hartanah MyRumah 2019 dianjurkan kumpulan NSTP dengan disokong Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

MyRumah 2019 yang julung kali diadakan di negeri ini sejak 2016 dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung.

Ia menawarkan 1,437 unit perumahan dan komersial dengan nilai pembangunan kasar lebih RM323.6 juta.

Enam pemaju daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT)/Jabatan Perumahan Negara, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd, O&C Properties (Kuantan) Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan UDA Land (East) Sdn Bhd mengambil bahagian.

Selain itu, Amanah Raya Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas turut menyertai pameran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:02 AM