Siti A’isyah Sukaimi

GERAKAN koperasi di negara ini boleh berperanan besar dalam membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di bandar dan luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, berikutan itu, beliau mengalu-alukan pelaksanaan program Barang Asas 100 (BA 100) anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam sektor pemborongan dan peruncitan seperti diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Ogos lalu.


TUN Dr Mahathir diiringi Mohd Redzuan (dua dari kiri) merasmikan Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi Sempena 100 Tahun Pada 2022. FOTO Luqman Hakim Zubir

“BA 100 adalah program berteraskan e-dagang yang akan mengumpulkan belian barang asas secara pukal mengikut permintaan oleh kira-kira 3,000 koperasi runcit di seluruh negara.

“Saya juga mengalu-alukan inisiatif baharu SKM untuk menggabungkan koperasi utama dalam Sektor Pemborongan dan Peruncitan dengan menubuhkan koperasi peringkat menengah iaitu Gabungan Angkatan Koperasi Borong dan Runcit atau singkatannya Akrab,” katanya berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi Sempena 100 Tahun Pada 2022, Cyberjaya, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:15 AM