LEE bersalaman dengan kakitangan Niosh dalam satu majlis perpisahan. FOTO Niosh
Yusmizal Dolah Aling

INSTITUT Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) akan kekal cemerlang jika pihak pengurusan dan warga kerjanya berpegang kepada nilai asas integriti, profesionalisme dan juga inovasi.

Bekas Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, banyak pihak terutama daripada pelbagai industri kini menjadikan Niosh sebagai pilihan utama untuk mendapatkan perkhidmatan dan latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Dalam amanat terakhir beliau sebagai Pengerusi Niosh kelmarin, Lee berkata, sepanjang 27 tahun berkhidmat, beliau sendiri memberikan seluruh jiwa dan raga kepada Niosh sehingga menganggap ia sebagai rumah keduanya.

“Saya dilantik selepas bersara daripada politik pada tahun 1990 dan bergiat aktif sebagai aktivis sosial sepenuh masa. Menteri Sumber Manusia pada masa itu (Tan Sri Lim Ah Lek) berkata, saya pernah memperjuangkan isu pekerja ketika menjadi Ahli Parlimen dan sudah pasti boleh menyumbang terhadap Niosh,” katanya.

Lee, 73, mula menyertai Niosh sebagai ahli lembaga pengarah selepas ia ditubuhkan pada 1992 sebelum dilantik menjadi pengerusi organisasi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu pada 1994.

“Lebih membanggakan, Niosh mampu berdikari dalam aspek kewangan apabila berjaya menjana pendapatan untuk menanggung operasi termasuk membayar gaji dan bonus untuk kakitangan setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:31 AM