Balqis Jazimah Zahari


ENAM penerbangan membabitkan 747 penumpang terpaksa dibatalkan berikutan keadaan jerebu di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, hari ini.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, kesemua penerbangan membabitkan pesawat Fly Scoot dan Air Asia terpaksa dibatalkan kerana jarak penglihatan di lapangan terbang tidak baik.

“Jarak penglihatan di lapangan terbang dilaporkan rendah pada 8 pagi ini dengan mencatat bacaan 2,000 meter.

“Sebanyak 14 penerbangan hari ini, yang mana enam penerbangan pergi dan balik terpaksa dibatalkan berikutan jerebu,” katanya dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kesemua lima stesen di negeri ini mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

IPU di Tasek mencatat bacaan tertinggi iaitu 168, diikuti Pegoh 148, Seri Manjung (136), Tanjung Malim (135) dan Taiping (114).

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 10:17 AM
TINJAUAN jerebu di bandaraya Ipoh yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat dengan bacaan 104 pada Selasa lalu. FOTO Effendy Rashid