SEBAHAGIAN 18 PATI yang ditahan penguat kuasa imigresen. FOTO Jabatan Imigresen Kedah
Hamzah Osman


PEMILIK premis perniagaan di Pantai Chenang dan Pulau Rebak di Langkawi, menerima padah apabila premis mereka diserbu Jabatan Imigresen kerana disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam serbuan Ops Bersepadu Jumaat lalu, Jabatan Imigresen negeri yang dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 18 PATI berusia antara 18 dan 55 tahun.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, seramai 13 anggota imigresen dan 16 dari PPM melakukan serbuan premis perniagaan di Pantai Chenang dan Pulau Rebak selepas membuat risikan.

“Dalam operasi bermula 10.30 malam dan berakhir 12.30 tengah malam itu, seramai 121 orang diperiksa membabitkan pelbagai warganegara.

“Daripada jumlah itu seramai 18 pekerja warga asing ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Zuhair berkata, mereka yang ditahan semuanya lelaki membabitkan lima warga Bangladesh, masing-masing tiga warga Pakistan dan Myanmar, masing-masing seorang warga Perancis, Jepun dan Filipina, selain empat warga Nepal.

“Mereka yang ditangkap itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Mereka juga melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal lebih masa dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar Syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 11:02 AM