ANTHONY Loke ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-20. FOTO Iqmal Haqim Rosman
ANTHONY Loke ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-20. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


PROJEK naik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru tetap akan diteruskan sekalipun kerajaan berdepan cabaran kewangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dua projek besar berkenaan masih diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Ini kerana projek menaik taraf KVDT fasa kedua yang akan bermula tidak lama lagi sudah dipersetujui oleh kerajaan, begitu juga PLBE.

“Kita (Kementerian Pengangkutan) akan meneruskan dua projek berkenaan, namun bagaimana kaedah pembiayaan itu akan dibincangkan kemudian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-20 di Seremban, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mahu mewujudkan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Seremban, Loke berkata, ia akan dipertimbangkan.

Menurutnya, Nilai sudah dipertimbangkan antara stesen ECRL dan daerah itu terletak berdekatan Seremban dan sudah tentu akan melalui Seremban.

“Kita akan pertimbangkan permintaan Menteri Besar tetapi perlu mengambil kira keadaan kewangan. Lagipun Nilai sudah sebahagian dari Seremban,” katanya.

Loke berkata, pihaknya juga menyenaraikan beberapa projek lain untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan menerusi Bajet 2020.

“Kita akan tunggu pembentangan yang akan diumumkan nanti dan kita memahami tidak semua akan diluluskan dan diberi keutamaan serta dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan siasatan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Loke berkata, laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) itu akan dibentangkan kepada Kabinet bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 2:21 PM