Nur Saliawati Salberi


SEBUT sahaja Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, pastinya ramai mengenali dan mengikuti kisah bayi ini serta ternanti perkembangan terbaharunya.

Gelagat Ainul Mardhiah, 13 bulan, yang kini dikatakan baru tumbuh gigi nyata mencuit hati ramai apabila video dimuat naik ibunya Nurul Erwani Zaidi, 24, di laman sosial Instagramnya malam tadi mendapat tontonan lebih 110,000.

Menurut Nurul Erwani, dia menyedari anaknya itu mempunyai gigi malam tadi selepas Ainul Mardhiah kelihatan seperti mengunyah sesuatu.

“Hairan juga tengok mulut dia asyik mengunyah, apabila saya rasa gusinya terasa tajam di gusi bawah dan nampak putih.

“Gusi atasnya juga kelihatan sedikit bengkak mungkin gigi atas pun akan menyusul juga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Erwani, selepas dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis, Ainul Mardhiah kini dikuarantin kerana bimbang terkena semula jangkitan.

“Alhamdulillah Ainul kini kembali sihat, dia kini dikuarantin daripada orang ramai dan buat waktu ini hanya keluarga terdekat seperti datuk dan nenek sahaja dibenarkan berjumpanya.

“Malah, Ainul juga sudah pandai menonton televisyen dan paling suka melihat iklan serta minta selalu untuk dipegang supaya dapat duduk,” katanya.

Mengulas lanjut, Erwani berkata, dia kini dalam proses penyediaan bagi mendapatkan maklumat mengenai pemakanan yang sesuai untuk Ainul Mardhiah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 3:32 PM
PAPARAN video yang dimuat naik ibu Ainul di Instagram. FOTO Instagram Nurul Erwani