Anggota trafik IPD Gombak menyita kereta lusuh ketika ditemui di bahu jalan di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Gombak pada Jumaat lalu. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


KERETA lusuh yang tular di media sosial berikutan keadaannya yang didakwa warganet sudah tidak sesuai berada di jalan raya sudah disita polis selepas ditemui di bahu jalan di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Gombak pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Arshad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kereta itu kira-kira 10 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ke lokasi sebelum mendapati kereta berkenaan diparkir di bahu jalan berkenaan.

“Pemandu kereta terbabit yang berusia 45 tahun turut berada di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, semakan mendapati cukai jalan kereta berkenaan sudah tamat tempoh sejak September tahun lalu.

“Semakan juga mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu ketika diperiksa.

“Berdasarkan rekod, kereta itu dimiliki seorang lelaki dipercayai ahli keluarga pemandu berkenaan yang berusia 75 tahun,” katanya.

Menurutnya, tindakan sita terhadap kereta itu dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, kisah mengenai kereta yang turut digelar warganet sebagai ‘Kancil lejen’ itu tular di media sosial selepas didakwa dipandu dalam keadaan tidak sempurna di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:54 PM