Sebahagian Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh yang masih berlindung di bawah khemah selepas rumah mereka dirobohkan. Foto Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“DALAM keadaan jerebu yang teruk, saya sekeluarga terpaksa tidur di bawah khemah terbuka dengan memakai penutup hidung dan beralaskan tikar sejak Rabu lalu,” kata Elawati Amir, 32.

Dia antara sebahagian penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh yang perlu mengosongkan rumah sejak Rabu lalu selepas ia dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong untuk mengatasi masalah banjir kilat.

Menurutnya, dalam keadaan terdesak dia terpaksa akur untuk mengosongkan rumahnya seperti diarahkan dan tinggal sementara waktu di bawah khemah bersama suami dan dua anaknya serta penduduk lain.

“Kami menerima notis pengosongan rumah pada 5 Ogos lalu dan dalam masa singkat mana mungkin dapat mencari rumah sewa sesuai dengan kemampuan suami yang hanya bekerja sebagai pemandu lori.

“Namun, saya bersyukur kerana akhirnya ada penduduk kampung yang mahu menyewakan rumah pada kadar RM700 sebulan dan saya sekeluarga akan mula memindahkan barang esok,” katanya ketika ditemui di penempatan sementara di kampung itu hari ini.

Seorang lagi penduduk, Suriati Junid, 33, dia berharap kerajaan negeri memandang serius kemelut yang dihadapi penduduk dan menyalurkan bantuan sewajarnya kerana majoritinya berpendapatan rendah.

Menurutnya, walaupun ada ditawarkan Rumah Selangorku tetapi masih ramai yang tidak layak kerana tidak melepasi syarat seperti tiada penyata gaji dan berpendapatan tetap.

“Kami berharap kerajaan negeri dan wakil rakyat kawasan ini datang bertemu untuk mengetahui apa masalah yang dihadapi penduduk.

“Jangan buat kami tiada nilai dan hanya nampak apabila mahu mendapat undi. Apabila berlakunya masalah seperti ini, kami tiada tempat bergantung kerana rumah yang didiami sejak 20 tahun lalu roboh sekelip

mata walaupun rayuan sudah dibuat agar kerja meroboh ditangguhkan sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir Azroy Abdul Manaf berkata, berdasarkan bancian yang dibuat sebanyak 39 keluarga sudah mendapat rumah sewa, manakala tiga keluarga lagi masih berusaha untuk mendapatkan kediaman sementara.

Menurutnya, setakat ini pelbagai pihak tampil menyalurkan bantuan antaranya makanan, tilam, selimut dan air mineral untuk penduduk selain bantuan wang tunai.

Berita berkaitan

Jangan politikkan isu Paya Jaras Hilir

Ke mana kami mahu pergi?

'Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS

Dah tiga kali tangguh...

'Kami semua bukan itik'

Mahu tangguh roboh rumah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:33 PM