Keratan laporan sebelum ini.
Zuliaty Zulkiffli


DIA hanya mampu melaungkan azan sekuat-kuatnya, dengan harapan kakaknya dapat mendengar dan menyelamatkan diri daripada kebakaran rumah di Kampung Lubuk Pinang, Sanglang.

Bagaimanapun, Ibrahim Kereya, 74, terkejut dan sedih apabila Harison Kereya, 82, tidak sempat keluar dari rumahnya serta ditemui terbaring kaku di dapur dengan kesan lecur di beberapa anggota badan.

“Ketika melihat rumah kakak terbakar, saya tidak dapat buat apa-apa, hanya mampu melaungkan azan kerana saya tak berani masuk ke dalam disebabkan api terlalu marak ketika itu.

“Apabila api mulai reda, saya nampak kakak terbaring di dapur tetapi dia tidak bergerak sedikit pun. Saya usung dia keluar dari situ dan bawa ke rumah jiran serta mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.

“Dia menghembuskan nafas terakhirnya selepas itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ibrahim berkata, arwah Harison dipercayai meninggal dunia kerana lemas terhidu asap dan melecur di muka, badan dan kaki.

Katanya, dia menyedari kebakaran itu pada 4 petang dan rumahnya terletak kira-kira 70 meter dari kediaman arwah.

Kali terakhir dia bertemu arwah semalam, apabila Harison memintanya membelikan ayam untuk dibuat lauk berikutan dia tinggal seorang diri.

“Saya selalu belikan dia barang rumah selang sehari kerana dia tinggal seorang diri, manakala empat anaknya tinggal berasingan.

“Arwah rajin memasak namun lebih banyak berkurung di dalam rumah kerana keadaannya yang sudah uzur,” katanya yang memberitahu mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah meskipun terkejut dengan apa yang berlaku.

Berita berkaitan

Warga emas meninggal dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 8:08 PM