GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu menunggu makluman daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebelum menentukan tarikh kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Menurut sumber SPR, kekosongan luar jangka bermaksud kerusi yang dikosongkan bukan disebabkan pembubaran sebaliknya kematian, hilang kelayakan atau berlakunya perletakan jawatan.

“Makluman daripada speaker kali ini penting kerana untuk menentukan tarikh kerusi itu kosong, jika sebab lain perlu juga tentukan tarikh kekosongan itu tapi tidak sepenting kali ini,” katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber itu berkata, surat Yang di-Pertua itu adalah untuk membolehkan SPR mengeluarkan writ dalam tempoh tidak kurang dari empat hari dan tidak lebih 10 hari untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

“Ini bukan seperti keputusan mahkamah pilihan raya iaitu SPR memaklumkan kepada speaker,” katanya.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia, semalam di Hospital Pontian, Pontian.

Beliau dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Md Farid, 42, adalah Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

Beliau memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dengan memperoleh 21,255 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 8:32 PM