GAMBAR hiasan
BERNAMA

LELAKI yang aktif menjalankan kegiatan jenayah terutama samun dan pecah rumah dengan bersenjatakan alat perenjat elektrik ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Lunas, Kedah semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan 4.30 pagi hasil risikan dan intipan sejak awal bulan ini.

“Pada 2 September lalu, polis menerima satu laporan kejadian samun penuntut kolej wanita dan dua rakannya membabitkan kerugian RM2,500 dan mereka turut cedera selepas direnjat dengan alat berkenaan.

“Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mereka baru sudah bersembahyang di gereja St Anne sebelum didatangi suspek yang bercakap dalam loghat warga asing yang bertanya arah jalan,” katanya di Bukit Mertajam, hari ini.

Lelaki itu mengekori tiga wanita berusia 20 tahun itu sehingga ke kawasan bukit di belakang gereja sebelum suspek menyembur sejenis cecair ke arah mata mangsa dan menyebabkan pedih.

Nik Ros Azhan berkata, lelaki itu kemudian memegang leher seorang daripada mangsa sebelum meletakkan alat renjatan elektrik pada lehernya, namun seorang lagi mangsa memukul suspek dengan payung.

“Mereka kemudiannya lari menuruni cerun bukit namun terus diekori suspek sebelum lelaki itu merampas beg seorang daripada mangsa seperti telefon, kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit dan debit serta wang tunai RM500 dengan kerugian dianggarkan RM2,500,” katanya.

Susulan penahanan lelaki yang tidak bekerja itu polis merampas alat renjatan elektrik, motosikal, alat walkie talkie, topi keledar dan beg galas.

Menurutnya, siasatan awal ke atas lelaki itu polis percaya dia aktif melakukan jenayah di sekitar daerah SPT dan di Lunas sejak beberapa bulan lalu serta modus operandinya mencederakan mangsa menggunakan alat renjatan elektrik sebelum melarikan barangan berharga mangsa.

“Lelaki yang mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah dan jenayah itu turut positif dadah, dan kini direman selama tujuh hari bagi siasatan menurut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 9:03 PM