HANYA 57 sekolah di Kuala Langat dan Klang yang diarahkan ditutup pada 23 September 2019. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

PEJABAT Menteri Besar Selangor hari ini menegaskan bahawa kenyataan media yang tular sejak petang tadi berhubung penutupan sekolah awam dan swasta di negeri itu pada esok dan Selasa, adalah palsu.

Menurut kenyataan dari pejabat itu, setakat ini hanya 57 sekolah di Kuala Langat dan Klang yang diarahkan ditutup esok.

“Kenyataan media (penutupan sekolah) tersebut palsu. Yang benar hanya 57 buah sekolah yang terlibat, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media KPM (Kementerian Pendidikan),” kata kenyataan itu di Shah Alam, malam ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata 57 sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok.

Arahan penutupan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Johan Setia melebihi 200, setakat 2 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 10:25 PM