KEADAAN ibu negara ketika cuaca ‘sihat’ dan kini berjerebu.
Mahaizura Abd Malik


OPERASI Pembenihan Awan (OPA) yang dirancang sebelum ini, akan disambung lagi di negeri Semenanjung yang terjejas jerebu pada minggu depan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan semalam berkata, bagaimanapun pelaksanaan operasi itu bergantung keadaan atmosfera kawasan terbabit.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan mulai malam ini atau esok negara dijangka menerima angin dari arah timur atau timur laut.

“Dengan kehadiran angin dari arah timur ini, asap jerebu dari negara jiran dijangka tidak lagi menuju ke negara kita dan keadaan jerebu di negara ini akan berkurangan.

“Sehubungan itu, cuaca berjerebu dijangka bertambah baik dan jika ada pun bersifat sementara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi pemadaman kebakaran di Sarawak akan diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan di peringkat negeri.

“Hasil pemantauan dan penilaian Bomba Sarawak, kebakaran gambut masih lagi berlaku dan kawasan kebakaran bertompok di Sri Aman yang masih terbakar dianggarkan seluas 10 ekar.

“Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini (semalam) melaksanakan pengeboman air di kawasan kebakaran Sri Aman.

“Sementara itu, OPA ditangguhkan mulai hari ini (semalam) kerana keadaan atmosfera dan dijangka tidak perlu diteruskan buat masa ini susulan angin tiupan angin dari arah timur dan bakal hujan,” katanya.

Setakat 5 petang semalam, data sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan Johan Setia Klang masih mencatatkan paras bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat iaitu 208.

Selain itu, 44 kawasan lagi tidak sihat dengan rekod bacaan antara 102 hingga 196 serta 22 lokasi lagi di paras sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:05 AM