ABDUL Halim bersama lukisan pemandangan gunung berkabus yang dipamerkan di Pameran Lukisan Antara Langit dan Bumi di Menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA TERENGGANU: “Berpeluang mempamerkan lukisan sendiri di mercu tanda terbaru di negeri ini adalah pencapaian dan penghormatan terbesar dalam hidup saya,” kata Abdul Halim Budin, 60, seorang daripada lapan pelukis yang mempamerkan lukisan sempena Pameran Lukisan Antara Langit dan Bumi di jambatan angkat atau drawbridge, di sini.

Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Alim Budin berkata, dia aktif menghasilkan lukisan sejak 2017 dan sepanjang tempoh itu lebih 30 lukisan bertemakan pemandangan gunung berkabus serta lukisan still life dihasilkan.

“Saya bukan pelukis profesional dan tidak mempelajari seni lukisan itu secara formal sebaliknya hanya melalui YouTube, tetapi saya bersyukur kerana hasil karya diterima ramai sehingga sering dijemput menyertai pelbagai pameran di negara ini.

“Lukisan bertemakan siri gunung berkabus paling banyak dihasilkan dan pernah dijual dengan harga RM1,200 pada pertengahan 2017,” katanya.

Katanya, dia pernah menyertai banyak pameran lukisan tetapi penyertaan kali ini paling bermakna dan membanggakan.

“Saya terharu apabila dijemput menjadi salah seorang pelukis pertama yang mempamerkan lukisan pada pameran dianjurkan di sini.

“Ia satu penghormatan kepada saya, sekali gus menaikkan lagi semangat untuk menghasilkan lukisan yang lebih baik,” katanya.

Alim Budin berkata, selain menjadi jurulatih sukan angkat berat, aktiviti melukis turut menjadi sumber pendapatan sampingannya.

“Ramai kanak-kanak dari China yang menetap di sekitar Kuala Lumpur mengikuti kelas lukisan saya selain golongan orang kenamaan dan kerabat diraja.

“Satu daripada lukisan saya mendapat pengiktirafan juri profesional sebagai Breakthrough Artist di Pameran Art Salon oleh Artesque 2018.

“Pengiktirafan itu menjadikan nilai lukisan semakin tinggi, sekali gus membuktikan karya lukisan dihasilkan menepati standard,” katanya.

Pameran selama sebulan yang julung kali diadakan di Menara Jambatan Angkat bermula 15 September lalu mempamerkan 24 lukisan yang dihasilkan pelukis terkenal seperti Alim Budin, Harlina M Ali, Hashim Abu Hanifah, Marja, Yes Yusof, Zainah Abdullah, Acacia Diana dan Dizeri Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:10 AM