KERETA mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


SEORANG maut, empat lagi parah, selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 14, Jalan Johor Bahru-Air Hitam (arah Skudai), di Johor Bahru, hari ini.

Kejadian jam 6.15 pagi itu mengakibatkan mangsa Chong Chu Ming, 20-an, yang duduk di tempat duduk hadapan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Empat rakannya yang cedera termasuk pemandu kereta dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 6.15 pagi.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dari arah Johor Bahru menghala ke Skudai.

“Setibanya di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan dan melanggar pokok,” katanya.

Katanya, punca kemalangan dipercayai kenderaan dipandu hilang kawalan dan terbabas.

Kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Taman Daya untuk pemeriksaan.

Sementara itu Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Haizrul Rahmad berkata 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 6.01 pagi.

“Setibanya di lokasi, didapati lima mangsa terbabit dalam kemalangan itu dengan seorang daripadanya maut di tempat kejadian.

“Mangsa yang dikeluarkan di bawa ke HSA untuk rawatan lanjut,” katanya operasi ditamatkan pada 8.06 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:18 AM