Orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu. FOTO Azhar Ramli
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan memantau penyakit berkaitan jerebu susulan peningkatan kes di 33 Fasiliti Sentinel Jerebu kementerian khususnya membabitkan penyakit asma, konjuntivitis dan saluran pernafasan (URTI).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat peningkatan penyakit asma 3.5 peratus (1,222 kepada 1,265 kes) pada 15 hingga 21 September lalu.

Beliau berkata, bagi penyakit konjuntivitis pula, terdapat peningkatan 51.4 peratus (266 kepada 403 kes) bagi tempoh sama.

“Penyakit URTI menunjukkan penurunan 9.6 peratus (8,258 kepada 7,465 kes).

“Justeru orang ramai terutama golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

“Bagi mendapatkan langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Katanya, orang ramai juga disaran mengikuti perkembangan ketika jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:21 AM