“SEMALAM, langit berwarna oren macam nak masuk waktu Maghrib. Namun, hakikatnya baru saja jam 2 petang.

“Malah, kami tidur pun tak lena kerana tidak selesa akibat jerebu masuk ke dalam rumah dan menyebabkan kami sukar bernafas,” kata Muhammad Fikri Badrudin, 22.

Dia adalah warga Malaysia yang juga penuntut tahun akhir jurusan Syariah Hukum Keluarga di Universitas Islam Negeri Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, Kota Jambi, Indonesia.

Menceritakan lanjut mengenai keadaan di sana, Muhammad Fikri berkata, keadaan jerebu di tempat belajarnya itu semakin buruk sejak dua minggu lalu.

“Debu dan habuk yang berterbangan turun macam salji. Baju yang dibasuh dan di sidai di luar dipenuhi dengan habuk.

“Nak keluar rumah pun tak boleh. Sekiranya, kami keluar pun sama ada untuk pergi kuliah atau beli bahan makanan untuk masak saja. Itu pun pakai topeng namun masih terhidu bau asap.

“Kami (penuntut Malaysia di Jambi, Indonesia) sudah tiga hari berturut-turut melakukan solat hajat sejak Jumaat lalu di tempat masing-masing sebagai usaha untuk mengatasi masalah jerebu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Fikri memuat naik status dan beberapa video di laman Twitternya, meminta supaya orang ramai mendoakan kesihatan penuntut Malaysia di Jambi Indonesia berikutan udara di sana semakin tercemar.

Katanya, kuliah di universitinya itu turut dibatalkan sehingga hari ini bermula Jumaat lalu, namun pensyarah memberi tugasan untuk menggantikan jam belajar.

Dalam pada itu, penuntut tahun akhir jurusan Syariah Perbandingan Mazhab di universiti yang sama, Syed Mohsein Al-Yahya, 28 berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sana semakin buruk dari hari ke hari.

Menurutnya, Jambi adalah antara kawasan yang mencatatkan IPU tertinggi di kawasan Sumatera, Indonesia.

“Semalam, bacaan di Kota Jambi mencecah 638 berbanding kelmarin dengan IPU 530. Di sini, ada lebih kurang 112 pelajar dan segelintir daripadanya sudah pulang berikutan tidak tahan dengan keadaan jerebu di sini,” katanya.

Sementara itu, EXCO Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) cawangan Jambi, Raja Nur Izwan Raja Abdul Rahman berkata, peningkatan bacaan IPU di kawasan terbabit meningkat sangat mendadak sejak beberapa hari ini.

“Kami sudah meminta agar penuntut di Malaysia di Jambi untuk melaporkan segera kepada pihak PKPMI dengan segera sekiranya mereka mengalami masalah kesihatan seperti demam panas dan seumpamanya.

“Selain itu, kami akan terus membekalkan topeng muka N95 kepada semua ahli PKPMI di Jambu selain menggalakkan penuntut di sini untuk tidak keluar daripada rumah dengan cuaca (jerebu) sebegini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:38 AM
    PEMANDANGAN Kota Jambi, yang berjerebu. FOTO Ihsan Muhammad Fikri.