Farah Suhaidah Othman


DUA kumpulan penjenayah dikenali ‘Geng Ati’ dan ‘Geng Appu Boy’ yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan kilang di sekitar Sungai Siput tumpas sekali gus menyelesaikan 12 kes sejak Januari lalu.

Tiga lelaki ditahan membabitkan ahli kumpulan Ati manakala empat lagi kumpulan Appu Boy.

Mereka berusia antara 19 hingga 37 tahun diberkas di beberapa lokasi dalam serbuan berasingan sejak 16 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima 21 laporan mengenai kes pecah rumah dan kilang sejak Januari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan dua lelaki ditahan di Jalan Ipoh - Kuala Kangsar ketika anggotanya menjalankan rondaan cegah jenayah 16 September lalu dan menemui beberapa peralatan pecah rumah.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan keseluruhan tujuh lelaki dalam serbuan berasingan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kumpulan terbabit saling mengenali dan aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan kilang sejak tahun lalu.

“Semua suspek menyewa hotel bajet di daerah ini bagi menyembunyikan hasil curi berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput hari ini.

Mohd Khaizam berkata, pemeriksaan turut mendapati semua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

“Dalam beberapa serbuan itu, polis turut menemui barang hasil pecah rumah dan kilang berkenaan termasuk sebuah pacuan empat roda, dua televisyen dan dua komputer serta kipas angin,” katanya.


Mohd Khaizam menunjukkan gambar T Sivanesh yang dicari polis. FOTO Muhaizan Yahya

Menurutnya, dengan penahanan semua suspek, polis berjaya merungkai dan menyelesaikan 12 kes jenayah pecah rumah membabitkan kerugian dianggarkan melebihi RM100,000.

Katanya, semua suspek masih dalam tahanan reman dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Polis kini mengesan seorang lagi suspek dipercayai ahli kumpulan Appu Boy, T Sivanesh berusia 24 tahun yang beralamat di Kampung Tersusun Kamuning yang dipercayai melarikan diri.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai individu yang dicari itu diminta menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat di talian 0193424345,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:13 PM
Mohd Khaizam (dua kanan) menunjukkan barang hasil pecah rumah dan kilang yang ditemui polis. FOTO Muhaizan Yahya