Muhaamad Hafis Nawawi


“ARWAH ayah sempat bertemu kami enam beradik sebelum menghembus nafas terakhir di kediaman saya di Rawang, malam tadi,” kata Nurul Sabila Ahmad Said, 40, anak kepada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Allahyarham Ahmad Said, 67, meninggal dunia selepas pulang ke rumah anaknya 17 September lalu sebaik menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Nurul Sabila berkata, bapanya yang menghidap sakit jantung itu pada mulanya dimasukkan ke IJN pada 4 April lalu.

Menurutnya, bapanya ketika itu berasa sukar untuk bernafas selepas dua jam menjamah nasi.

“Arwah memandu sendiri ke IJN untuk membuat pemeriksaan sebelum ditahan untuk rawatan selama 167 hari.

“Sejak itu arwah tidak mampu bercakap dan badan menjadi lemah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, dia sekeluarga sebelum ini berkomunikasi dengan bapanya menggunakan bahasa badan dan mengambil keputusan membawanya pulang selepas menyedari keinginan bapanya itu.

“Selepas Maghrib malam tadi ayah sudah kelihatan nazak dan kami sekeluarga sempat berkumpul bersama di sisinya sebelum dia menghembus nafas jam 11.06 malam,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan jam 11.40 pagi ini selepas selesai solat jenazah di Surau As Sahabah, Jalan Nuri, Kota Damansara.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Allahyarham menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM bermula pada 14 Mei 2007 hingga 31 Disember 2009.

Berita berkaitan

Bekas KP SPRM meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 1:00 PM